PRINSIP PENTERJEMAHAN : KELAYAKAN PENTERJEMAH

Kelayakan Penterjemah

 i.   Mengetahui bahasa sumber 

Bahasa sumber ialah bahasa asal yang akan diterjemah ke dalam bahasa kedua. Pengetahuan dalam bahasa sumber mestilah mendalam.  Seseorang itu harus mengetahui selok bahasa, keistimewaan dan keganjilan bahasa itu supaya dia memahami makna terkandung dalam teks asal.  Dengan itu, barulah dia dapat membuat terjemahan dengan tepat.

ii.   Mengetahui bahasa penerima

Bahasa penerima ialah bahasa yang akan diterjemahkan daripada teks asal.  Dengan kata lain, bahasa penerima ialah bahasa kedua.   

Mengikut pakar penterjamah, seseorang penterjemah selain menguasai bahasa sumber dengan baik, dia mestilah menguasai bahasa penerima dengan lebih baik lagi.  Contohnya seseorang itu menterjemahkan teks daripada bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu, penterjemah itu mestilah mengetahui bahasa Melayu lebih baik daripada bahasa Cina, atau sama baik dalam kedua-dua bahasa itu.

Penterjemah perlu menguasai bahasa sasaran supaya terjemahan yang dihasilkan menghormati atau sesuai dengan struktur dan tatabahasa bahasa sasaran.

iii.   Pengetahuan dalam bidang yang diterjemah 

Untuk memastikan agar makna atau maklumat dalam teks asal dapat diterjemahkan dengan tepat ke dalam bahasa penerima, seseorang penterjemah itu perlu mengetahui bidang yang hendak diterjemah itu dengan mendalam.  Penguasaan bahasa yang baik tidak mencukupi untuk menjadi penterjemah yang baik, terutama dalam bidang profesional seperti undang-undang, sains, teknologi, falsafah dan karya kesusasteraan.

Penterjemah perlu mengetahui dalam bidang yang diterjemahkan supaya konsep saintifik dan teknikal yang ingin disampaikan dalam bahasa sumber dapat dipindahkan dengan baik dalam bahasa sasaran.

iv.   Mengetahui teori dan amalan terjemahan 

Bidang penterjemahan telah melahirkan teori dan kaedah ilmiahnya sendiri.  Oleh itu, adalah penting bagi penterjemah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam teori dan amalan sebelum memulakan kerja penterjemahan.

Penterjemah perlu mengetahui teori dan amalan penterjemahan supaya penterjemah dapat menggunakan kaedah, teknik dan strategi terjemahan yang sesuai agar terjemahan yang dihasilkan tidak kaku atau berbau terjemahan.

v. Mengetahui sasaran atau penerima

Penterjemah perlu memahami dan mengenali sasaran supaya terjemahan yang dilakukan sesuai dengan tahap pemahaman pembaca sasaran.

Sebagai contoh golongan sasaran atau penerima ialah kanak-kanak, bangsa melayu atau penduduk Malaysia. Jika sesuatu teks itu diterjemah dengan penterjemahan formal dan terlalu intelektual maka golongan kanak-kanak sukar atau tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.

vi. Mempunyai ketelusan dan integriti

Penterjemah perlu telus dan berintegriti supaya penterjemahan yang dilakukan tidak mempunyai unsur unsur tokok tambah atau pengurangan atau perubahan yang menyimpang jauh daripada ideologi yang disampaikan dalam bahasa sumber.

Selain enam syarat di atas, terdapat satu perkara yang harus dimiliki oleh seseorang penterjemah. Sebagai manusia, penterjemah mempunyai perasaan, pendirian, nilai, dan sikap tertentu. Perkara ini menyebabkan penterjemah itu dipengaruhi oleh pandnagan tersebut semasa melakukan penterjemahan. Dia mungkin mempunyai pendapat yang berlawanan dengan pengarang, atau dia mungkin bersetuju dengan idea pengarang, tetapi tidak menyukai cara pengarang itu menyampaikan idea tersebut. Persamaan atau perbezaan pendapat antara pengarang dan penterjemah mungkin terbawa-bawa dalam tugas terjemahan. 

Namun begitu, penterjemah tidak harus membiarkan sikap sendiri mempengaruhi terjemahannya. Dia mestilah cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan maksud asal pengarang, sebaliknya cuba mengekalkan maksud asal dan pendirian pengarang. Dengan itu, barulah penterjemah itu melakukan terjemahan dengan baik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

salam para penghuni Dunia KU..
sudi-sudikan lah membaca dan memberi komen..
jasa anda amat di hargai..

Dunia Iqmar Effendy

DISCLAIMER"INI ADALAH BLOG PERSONAL IQMAREFFENDY99BLOGSPOT[DOT]COM.SEMUA ENTRI DAN GAMBAR DI DALAMNYA ADALAH KISAH DAN MILIK DARI TUAN PUNYA BLOG SENDIRI. DI LARANG KERAS MENGAMBIL GAMBAR DI DALAM BLOG INI UNTUK TUJUAN APAPUN TANPA SEIZIN TUAN PUNYA BLOG. MAAF ATAS PENGGUNAAN GANTI NAMA 'AKU' UNTUK BLOGGER YANG LEBIH DEWASA. SEBARANG PERTANYAAN BOLEH HUBUNGI IQMAR EFFENDY."